Ipoh, Dis-
Kementerian Komunikasi akan memantau dan mengambil langkah tambahan sekiranya mana-mana platform media sosial gagal melaksanakan larangan had umur penggunaan yang ditetapkan platform tersebut.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata langkah ini susulan pelaksanaan pelesenan platform media sosial yang akan berkuat kuasa pada 1 Jan depan.
Beliau berkata kebanyakan platform media kini menetapkan had umur penggunaan pada usia 13 tahun.
“Kita nak tengok bagaimana mereka menguatkuasakan had larangan umur itu, berdasarkan apa yang (sekarang ini) mereka (platform media sosial) sendiri sudah tetapkan.
“Jika penguatkuasaan mereka gagal, kita akan mempertimbangkan langkah-langkah tambahan,” katanya pada sidang media sempena Program Perak Economic Outlook 2025.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengikut langkah Australia yang melarang kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah menggunakan platform media sosial.