Kota Tinggi, Jan-
Mangsa banjir negeri ini melonjak kepada 897 penduduk daripada 303 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, setakat jam 8 pagi ini.
Ia berbanding seramai 335 mangsa banjir daripada 124 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pusat pemindahan sementara (PPS), jam 10 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata hujan lebat berterusan sejak 24 jam lalu menyebabkan mangsa banjir negeri ini dijangka terus bertambah dengan jangkaan banjir di kawasan rendah di beberapa daerah lain.
Namun setakat ini katanya, Kota Tinggi paling terjejas dengan semua 13 PPS berada di daerah berkenaan.
“Mangsa teramai membabitkan 175 penduduk daripada 50 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), membabitkan penduduk Taman Mawai di bandar.
“Ia diikuti seramai 169 penduduk daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, membabitkan penduduk terjejas dari Taman Aman dan Taman Mawai.
“Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa waspada dan patuh pada arahan pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Dijangkakan mangsa banjir Johor akan bertambah susulan hujan lebat masih berterusan dan tidak berhenti sejak 24 jam lalu,”katanya dalam kenyataan, hari ini.