Shah Alam, Jan-
Seorang lelaki warga asing disahkan meninggal dunia selepas parah melecur dalam kejadian kebakaran di sebuah kilang penyimpanan gas di Klang dekat sini tengah malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, lelaki berkenaan meninggal dunia pada jam 6.32 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Punca kematian mangsa adalah ‘alleged gas burst injury’ yang mana mangsa mengalami lecur tahap dua dan tiga.
“Menurut pengurus kilang, terdapat enam lelaki yang berada dalam premis semasa kejadian dengan tiga daripadanya selamat manakala tiga lagi cedera.
“Dua daripada mangsa dihantar ke HTAR, manakala seorang lagi ke Hospital Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan di pekarangan premis itu.