Seremban- Jan-
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menekankan kepentingan pentadbiran sistem keadilan yang berkesan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan bagi menjamin kestabilan masyarakat serta negara.
Beliau menegaskan, hakim perlu sentiasa bertindak secara bermaruah dan melaksanakan tugas dengan piawaian tertinggi dalam menegakkan dan menjaga integriti jawatan.
Katanya, penting bagi hakim memutuskan perkara secara saksama seperti tanggungjawab digariskan dalam Kod Etika Hakim 2009.
“Dengan kebebasan kehakiman, hakim tidak bertanggungjawab kepada sesiapa, kecuali hati nurani mereka dan pembelajaran mereka.”Keputusan dibuat semata-mata berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak-pihak dan mengikut undang-undang.
“Hakim bebas memutuskan kes berdasarkan merit, tanpa mengambil kira personaliti yang terlibat, tanpa rasa takut terhadap sebarang ancaman atau sekatan.
“Hakim juga perlu bebas dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan atau terpikat dengan apa-apa jenis ganjaran atau janji, jadi kebebasan, kesaksamaan dan integriti hakim penting dalam pentadbiran keadilan,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Persidangan Undang-Undang Peguam Negeri Sembilan ke-60 2025 di Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.




















