Putrajaya, Jan-
Perintah gaji minimum baharu berkuat kuasa di seluruh negara mulai esok, menurut Kementerian Sumber Manusia.
Perintah itu menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih dan majikan menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja digajikan majikan.
Bagi majikan menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
Kementerian dalam kenyataan, memaklumkan langkah berkenaan bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja selaras dengan agenda Ekonomi Madani menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.
“Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk ‘menaikkan lantai’ ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli yang seterusnya dapat menambah baik kualiti hidup rakyat,” menurut kenyataan.





















