Pencemaran sungai: Pengarah syarikat, anak direman tujuh hari

Lapan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes pencemaran air Sungai Gong, Rawang direman tujuh hari bermula hari ini hingga 28 Oktober.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata permohonan reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Selayang Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Katanya, kesemua suspek diwakili oleh dua peguam.

Terdahulu, Air Selangor mengesan bau kurang menyenangkan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Ekoran itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 TON.

Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan.

Sehubungan itu, polis menahan lelaki berumur 62 tahun serta anaknya 31 tahun iaitu pengarah syarikat di Rawang.

Polis turut menahan enam pekerja, iaitu dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here