Didakwa kejam terhadap anjing liar – NGO berhimpun bantah Tindakan MPK

Kuala Lumpur, Mac-
Sekumpulan individu termasuk NGO hak haiwan berhimpun di Dataran Merdeka Ahad, bagi menyuarakan bantahan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan video tular tindakan zalim terhadap anjing jalanan, baru-baru ini.

Menerusi video tular yang dikongsi di media sosial itu, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) didakwa melupuskan anjing liar dengan cara kejam.

Presiden Persatuan Kebajikan Haiwan Terbiar Sungai Buloh (Fauziah Paws Care), Siti Fauziah Abdul Jabbar, berkata dia berharap kerajaan dapat mengukuh dan meminda Akta Kebajikan Haiwan untuk melindungi haiwan terbiar daripada sebarang bentuk kekejaman dan keganasan.

Dia juga menggesa satu kaedah lebih berperikemanusiaan dapat dilakukan pihak terbabit dalam menguruskan haiwan terbiar.

“Kita menggesa kerajaan mencari penyelesaian terbaik supaya isu penganiayaan haiwan jalanan tidak berulang termasuk oleh PBT ketika melakukan tangkapan.

“Kita harap akta sedia ada ini dapat dipinda supaya mana-mana pihak termasuk PBT tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak zalim terhadap haiwan,” katanya.

Terdahulu, mereka yang mula berkumpul sekitar 3 petang turut membawa plakad dan sepanduk yang menuntut reformasi undang-undang dalam pengurusan haiwan jalanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here