Kuala Lumpur, Mac-
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa tindakan segera terhadap Zamri Vinoth berhubung hantarannya di media sosial yang mempersendakan agama Hindu, sambil memberi amaran kegagalan berbuat demikian berisiko mewujudkan persepsi pendakwaan terpilih.
Ramkarpal berkata, melepaskan Zamri tanpa hukuman ketika tindakan diambil terhadap penyampai radio Era FM, pelawak Harith Iskandar dan pengguna media sosial Cecilia Yap bagi kes sama akan memberi mesej yang salah.
“Kegagalan berbuat demikian akan memberi gambaran pendakwaan terpilih terhadap DJ, Harith, dan Cecilia, manakala Zamri dibenarkan melanggar undang-undang secara terang-terangan tanpa dikenakan hukuman,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.
Ramkarpal, bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi, juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam hantaran Zamri bagi mengelakkan mudarat.
“Keharmonian kaum mesti menjadi keutamaan kerajaan dan saya percaya majoriti rakyat Malaysia mahu tindakan tegas terhadap apa-apa yang mengancam hubungan masyarakat kita,” katanya.
Semalam, Zamri membuat hantaran di Facebook dengan mengatakan penganut Hindu yang melakukan upacara kavadi itu seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’.
Ramkarpal menyifatkan kenyataan Zamri sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif, terutama sekali sejurus selepas kontroversi Era FM.




















