Kuala Lumpur, Mac-
Pendakwah bebas Zamri Vinoth telah menerima cabaran Timbalan Presiden MIC M. Saravanan untuk berdebat mengenai agama Hindu, berikutan kemarahan orang ramai terhadap kenyataannya mengenai upacara kavadi.
Zamri mengesahkan kesediaannya itu menerusi hantaran Facebook lewat malam tadi, yang menyahut cabaran Saravanan untuk berdebat dalam bahasa Tamil.
Siapa sedia nak anjurkan debat tersebut? Tempat dimana? Apa Tajuknya?,” katanya.
Saravanan berkata perdebatan akan tertumpu kepada dakwaan Zamri bahawa penganut Hindu yang melakukan upacara kelihatan seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’.
Beliau mencadangkan debat itu diadakan pada 23 Mac dengan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjur. Mengenai lokasi, beliau berkata Zamri boleh memilih mana-mana tempat di Kuala Lumpur.
“Saya tunggu pengesahan anda. Pada masa yang sama, adalah ‘pelik’ anda menerima cabaran debat tetapi menutup komen pada Facebook anda,” tambah Saravanan dalam catatan Facebooknya.
Cabaran untuk berdebat timbul selepas kritikan tercetus terhadap kenyataan Zamri mengenai upacara kavadi, dengan Saravanan menggesa penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadapnya bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi Ramkarpal Singh berkata, pendakwah itu jelas melanggar undang-undang seperti Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan, yang memerlukan siasatan segera.
Zamri disiasat pada 2019 kerana membuat kenyataan yang dianggap menghina agama Hindu, walaupun dia tidak didakwa kerana bukti tidak mencukupi.





















