Rosmah Mansor diarahkan bela diri dalam kes rasuah

Mahkamah Tinggi Malaysia hari ini mengarahkan Rosmah Mansor untuk membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak.

“Penilaian maksimum terhadap bukti, saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” kata hakim.

“Oleh itu saya memanggil tertuduh mempertahankan dirinya,” kata hakim lagi.

Rosmah memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari dalam tempat saksi.

Rosmah, 69 tahun, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta (S$61.7 juta) dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (S$2.14 juta) daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di Malaysia; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here