Gotong-royong mega diadakan Sabtu, Ahad ini

Subang Jaya, Apr-
Satu gotong-royong mega dianjurkan kerajaan Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Sabtu dan Ahad ini bagi membersihkan kawasan perumahan yang terjejas akibat tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dipelawa untuk turut serta dalam kerja-kerja pembersihan tersebut.

Kerajaan negeri dan MBSJ telah mengambil inisiatif itu bagi memastikan pembersihan lebih teliti dijalankan, termasuk di kawasan sekitar rumah yang terjejas.

Namun, beliau menegaskan, semua yang berminat perlu mendaftar terlebih dahulu melalui Selangor Volunteers di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Hanya mereka yang telah mendaftar akan dibenarkan masuk untuk menyertai aktiviti gotong-royong ini,” katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini pada Khamis.

Hussein turut menjelaskan bahawa akses hanya terhad kepada kawasan perumahan dan bukannya di kawasan kawah tempat kebakaran berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here