Kuala Lumpur, Apr-
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menahan seramai 41 warga asing dalam operasi yang dijalankan di kawasan tumpuan sekitar ibu negara, semalam.
Operasi bersepadu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu bertujuan membanteras kegiatan penjajaan haram warga asing di Lorong Haji Taib, Chow Kit dan Jalan Berangan, Bukit Bintang.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, tindakan dibuat berdasarkan pemantauan dan risikan dijalankan pegawai penguat kuasa di sekitar kawasan itu bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan dilakukan.
“Sebanyak 15 kes sitaan dilaksanakan serta-merta hasil daripada operasi dijalankan di bawah UUK Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Sebanyak 13 tindakan dilaksanakan ke atas warga asing dan dua lagi tindakan membabitkan penjaja warga negara.
“DBKL juga turut mengeluarkan dua notis tawaran kompaun ke atas premis yang menggajikan warga asing di bawah UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.




















