George Town, Apr-
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan vape dan rokok elektronik yang membawa pelbagai isu sosial dalam kalangan pelajar.
Gesaan ini susulan kejadian pada Isnin membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di kawasan pinggir Kangar dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah selepas disyaki mengalami sawan berpunca daripada penggunaan vape.
Siasatan awal mendapati pelajar tersebut telah menghisap vape bersama rakan-rakannya di tandas sekolah.
Namun begitu, jenis peranti vape yang digunakan masih belum dikenal pasti oleh pihak perubatan.
Pegawai Kanan Pendidikan CAP yang juga aktivis antimerokok, N.V. Subbarow turut menggesa kementerian agar mengambil serius kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung isu vape. “Keadaan ini semakin membimbangkan apabila pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape yang mengandungi bahan berkaitan dadah. Jika tidak dikawal, ia boleh menjadi ancaman baharu di negara ini.
“Pemerhatian CAP juga mendapati ramai golongan muda terjebak dalam penggunaan rokok elektronik dan HTP (produk tembakau yang dipanaskan) sehingga mereka secara tidak sedar menjadi ketagih,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.