Penculik Pamela berpakaian polis!

Kuala Lumpur, Mei-
Polis sedang menyiasat dakwaan bahawa individu yang menculik Pamela Ling pada 9 April memakai pakaian seragam polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa mengesahkan pemandu perkhidmatan e-hailing yang membawa Ling ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

“Ia masih dalam siasatan,” katanya kepada FMT.

Malaysiakini melaporkan peguam Ling, N. Sivananthan, berkata beliau telah melihat laporan polis tersebut yang difailkan pada hari kejadian, tidak lama selepas kereta yang dinaiki Ling dihalang oleh tiga buah kenderaan lain.

Sivananthan berkata menurut pemandu itu, keretanya telah dipintas oleh tiga kenderaan – dua berwarna biru gelap dan satu putih – ketika mereka hampir tiba di ibu pejabat SPRM.

Beliau berkata seorang lelaki yang memakai vest polis dan seorang wanita berseragam polis telah keluar dari kenderaan tersebut dan meminta Ling mengikut mereka, serta turut mengambil MyKad pemandu e-hailing itu.

Dua laporan polis telah dibuat berhubung kehilangan Ling.

SPRM berkata wanita tersebut sedang membantu siasatan berhubung kegiatan pengubahan wang haram manakala polis pula menyatakan bahawa beliau telah beberapa kali mengunjungi ibu pejabat agensi antirasuah itu sebelum kehilangannya.

SPRM juga memaklumkan bahawa pegawai-pegawainya gagal menghubungi Ling selepas beliau tidak hadir pada 9 April.

Setakat ini, dua belas individu telah dipanggil polis untuk memberikan keterangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here