Tunggang motosikal elektrik diubah suai Polis panggil pempengaruh media sosial

Melaka, Mei-
Polis memanggil seorang mempengaruh media sosial selepas tular tindakannya menunggang kenderaan mikromobiliti atau motosikal elektrik yang diubah suai dipercayai melanggar undang-undang.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata tindakan itu diambil selepas polis mengesan satu video tular berdurasi 22 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok kira-kira jam 11.50 pagi semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan mikromobiliti itu sudah diubah suai, dipasang bumbung dan ditunggang seorang lelaki bersama dua pembonceng lelaki di persimpangan lampu isyarat Lee Rubber, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini.

“Kira-kira jam 1 tengah hari semalam, kita berjaya mengesan penunggang motosikal elektrik terbabit yang menggunakan akaun TikTok @Isa Isarb.

“Polis turut membuat pemeriksaan ke atas satu motosikal bernombor plat MDJ1154 yang didaftarkan atas nama Isa Isarb dipercayai merakam aksi kenderaan mikromobiliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam semalam.

Dzulkhairi berkata, pihak polis kemudian menghubungi Isa dan dimaklumkan beliau berada di Sabah atas urusan perniagaan sehingga 16 Mei ini.

Penama (Isa) diminta untuk hadir ke Pejabat Penguatkuasa Polis Peronda Lebuh Raya (HMPV) Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk diambil keterangan.

“Beliau bagaimanapun mengesahkan akan hadir bersama peguam pada 17 Mei ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here