Teluk Intan, Mei-
Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini, semalam direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 45 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Naidatul Athirah Azman selepas permohonan dibuat oleh Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.
Naidatul Athirah membenarkan perintah reman empat hari bermula hari ini hingga Sabtu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Terdahulu, lelaki berusia 45 tahun itu dihadapkan ke mahkamah pada kira-kira jam 8.50 pagi dengan berpakaian kemeja hitam dan seluar trek.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pemandu lori itu mempunyai rekod jenayah, termasuk sabitan merogol.























