Remaja perempuan hilang hampir 2 minggu

Kuala Lumpur, Mei-
Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak 15 Mei lalu dan kali terakhir dilihat di kawasan Jalan 21/33, Sea Park, Petaling Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata remaja terbabit, Angel Ho Kha Suen, dilaporkan hilang selepas gagal dikesan keluarga sejak jam 2 petang pada hari kejadian selepas dikatakan keluar daripada kediamannya.

Berikutan itu, katanya satu laporan polis dibuat oleh keluarga remaja terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 8.36 malam, 19 Mei lalu.

“Angel mempunyai ketinggian kira-kira 160 sentimeter, berat 45 kilogram, berwajah kacukan Cina dan India, berkulit cerah serta berambut lurus warna hitam coklat panjang hingga ke pinggang.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrulnizam berkata maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ainaa Athira di talian 010-2762186.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here