Abai dua beradik perempuan – Ibu dan teman lelaki ditahan

Kuala Lumpur, Jun-
Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan polis selepas disyaki mengabaikan dua anak perempuan wanita berkenaan, masing-masing berusia empat dan 16 tahun, di sebuah rumah di Puchong, Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada jam 12.43 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek wanita berusia 37 tahun dan teman lelakinya berusia 42 tahun, tinggal serumah bersama dua mangsa.

“Ujian saringan awal mendapati teman lelaki wanita berkenaan positif dadah dan semakan mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah berkaitan kes narkotik.

“Bagaimanapun, keputusan ujian air kencing terhadap wanita itu adalah negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis juga sudah merakam keterangan lima saksi bagi membantu siasatan, termasuk individu yang mengenali keluarga berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bermula kelmarin sehingga 10 Jun ini untuk siasatan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here