Taufan Kategori 2 Eta badai Nicaragua

Eta diturun taraf kepada taufan Kategori 2 kelmarin walaupun ia masih melanda Nicaragua dengan ribut kencang dan hujan lebat.

Taufan itu, yang turun daripada taufan Kategori 4 pada awal kelmarin ketika ia bergerak ke kawasan pedalaman, melanda komuniti peribumi yang miskin di sepanjang kawasan pantai dan menyebabkan hujan lebat di kebanyakan tempat di Amerika Tengah.

“Agak banyak pokok telah tumbang dan trafik terjejas teruk” di rantau itu, kata Menteri Infrastruktur Oscar Mojica.

Dengan ribut selaju 175 kilometer sejam, Eta menumbangkan pokok dan merobek bumbung dari rumah di Bilwi, bandar terbesar di kawasan pantai timur laut, juga dikenali sebagai Puerto Cabezas.

“Sepanjang malam kami mengalami ribut kuat, diiringi hujan,” kata Kenny Lisby, ketua sebuah stesen radio tempatan, kepada AFP. “Mungkin agak ba-nyak kemusnahan akan berlaku.”

Ribut menumbangkan tembok lingkungan konkrit stadium besbol di bandar berkenaan, dan meninggalkan pokok tumbang mana-kala lembu dan haiwan domestik berkeliaran di jalanan, kata pemberita AFP.

Giovany Nelson, 34, berkata keluarganya “mengurung diri dalam bilik sambil mendengar ribut memus-nahkan bumbung”.

Kerajaan Nicaragua tiada melaporkan kematian segera, manakala pihak berkuasa di Honduras berkata seorang kanak-kanak mati dalam sebuah rumah yang roboh.

Pusat Hurikan Negara Amerika Syarikat memberi amaran bahawa kesan Eta boleh membawa bencana ke rantau berkenaan.

“Ombak taufan yang me-ngancam nyawa, ribut yang membawa bencana, banjir kilat, dan tanah runtuh dijangkakan di beberapa bahagian Amerika Tengah,” katanya, termasuk Jamaica, tenggara Mexico, El Salvador, selatan Haiti dan Kepulauan Cayman.

Sungai Wawa yang meng-hubungkan Bilwi dengan tempat lain di negara itu telah melimpahi tebingannya.

Eta diramal akan terus bergerak ke kawasan pedalaman di utara Nicaragua dan tengah Honduras semalam sehingga hari ini.

Atas permintaan kerajaan, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata ia sudah menghantar 80 tan makanan untuk diagihkan di rantau tersebut.

Kira-kira 100,000 orang tinggal di Bilwi dan komuniti bersebelahan di sepanjang pantai, kebanyakannya diduduki kaum-kaum peri-bumi Miskito dan Mayag-na yang merupakan antara penduduk paling miskin di Nicaragua.

“Bilwi telah terjejas teruk, kawasan kejiranan sekitar dan jambatan ditenggelami air, banyak rumah tidak ada bumbung dan situasi itu berterusan kerana taufan terus bergerak dengan sa-ngat perlahan pada laluannya ke dalam wilayah,” kata Kevin Gonzalez, seorang sukarelawan komuniti yang membantu dalam usaha bantuan.

“Ia adalah malam yang menakutkan kerana ribut kuat mengeluarkan bunyi umpama traktor yang sedang memusnahkan se-galanya pada laluannya,” kata seorang penduduk Bilwi berusia 35 tahun, Joel Quin, kepada AFP.

Taufan itu kemungkinan ada kesan yang buruk ke atas punca pendapatan utama komuniti terbabit, iaitu per-ikanan dan pertanian, kata WFP.

Apabila lapisan permukaan lautan menjadi panas di-sebabkan oleh perubahan iklim, taufan menjadi semakin kuat dan membawa lebih banyak air, yang menimbulkan ancaman yang semakin serius kepada komuniti tepi pantai di dunia, kata saintis.

Ombak taufan yang diburukkan lagi oleh paras air laut yang pasang boleh me-nyebabkan kemusnahan yang khususnya buruk.

Di kawasan komuniti tepi pantai Prinzapolka, ribut merobek bumbung zink dari tempat tinggal kerangka kayu yang sederhana, kata guru tempatan Kevin Lacwood kepada AFP.

Kerajaan berkata ia sudah memindahkan 20,000 orang dari kawasan pantai ke pusat perlindungan di kawasan pedalaman.

Kerajaan di Nicaragua, dengan lebih enam juta orang, dan negara jiran Honduras, dengan lebih sembilan juta, telah memberi amaran kepada populasi di laluan taufan itu untuk bersiap sedia sebaik mungkin.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here