Kuala Lumpur, Jun –
Tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra maut manakala seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan di KM49.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Alor Setar petang semalam.
Ketua Polis Kota Setar Siti Nor Salawati Saad berkata kemalangan 2.10 petang itu membabitkan dua motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha Y16ZR serta sebuah kereta jenis Naza Citra.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha 135LC hilang kawalan sehingga melanggar bahagian belakang kereta yang sedang berhenti di laluan kecemasan.
“Motosikal Yamaha Y16ZR yang berada di belakang pula gagal mengelak sebelum melanggar Yamaha 135LC berkenaan,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Difahamkan, keempat-empat sahabat itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Siti Nor Salawati berkata, akibat pelanggaran itu, dua penunggang dan seorang pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi pembonceng cedera.
Menurutnya, tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhamad Habil Mohd Sobri, Muhammad Fahmi Jamel dan Muhamad Arif Aifan Derani.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.




















