Ipoh, Jun-
Polis menasihatkan pemandu bas yang terlibat dalam nahas mengorbankan 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lepas supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan secara terbuka kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata tindakan pemandu berusia 39 tahun yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping itu boleh mengganggu siasatan dijalankan polis.
“Tindakan yang dilakukan oleh pemandu berkenaan boleh menimbulkan pelbagai spekulasi lain kepada masyarakat dan siasatan yang dijalankan ini juga mengambil kira pelbagai aspek katanya ketika ditemui pada sidang media di IPK Perak.
Isnin lalu, 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat perlanggaran dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza.
Noor Hisam berkata, polis buat masa ini akan mengambil keterangan daripada pemandu berkenaan selepas lelaki itu selesai menjalani rawatan di hospital.
“Perkara (rawatan) ini kita serahkan kepada pihak hospital, pegawai kita juga sentiasa memantau perkembangan pemandu berkenaan dari semasa ke semasa sebelum sebarang tindakan susulan diambil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini 18 saksi telah diambil keterangan iaitu melibatkan beberapa pihak termasuk pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan itu.





















