Melaka, Jun-
Pelajar Tingkatan Lima yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam ibu dan abang serta mencederakan adiknya di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, semalam direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari sehingga 19 Jun depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Ia bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan kes yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek berpakaian baju lokap ungu dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh menaiki kenderaan polis kira-kira jam 9 pagi.
Turut kelihatan beberapa individu dipercayai ahli keluarga suspek turut berada di mahkamah dan dilihat berbincang dengan dua peguam mewakili remaja terbabit.
Media semalam melaporkan polis menahan remaja 17 tahun itu selepas disyaki membunuh ibu dan abangnya serta mencederakan adik bongsunya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, kira-kira jam 5 pagi.
Mangsa yang juga ibu tunggal berusia 51 tahun serta anak lelaki berusia 21 tahun ditemui dengan beberapa kesan tikaman di ruang tamu rumah.
Adik bongsu suspek berusia 13 tahun pula ditemui berlumuran darah di jalan hadapan rumah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilapor berkata, wanita itu bekerja sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), manakala anak sulungnya pelajar kolej di Melaka.
Katanya, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai akibat tekanan perasaan dan dendam dialami suspek kerana sering dipaksa belajar untuk mendapatkan keputusan cemerlang.























