Kuala Lumpur,Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan gambar kanak-kanak dan remaja di media sosial, khususnya melibatkan kandungan tidak bermoral, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau merujuk kepada pendedahan pelakon dan pempengaruh media sosial Mek Yun baru-baru ini mengenai penyebaran gambarnya ketika masih bersekolah dalam sebuah kumpulan Facebook yang didakwa mempromosikan bahan berunsur seksual terhadap kanak-kanak.
“Lebih mengejutkan, terdapat pengakuan terbuka daripada seorang ahli kumpulan itu, yang mendakwa telah melakukan serangan seksual terhadap kanak-kanak.
“Ini adalah satu bentuk jenayah yang sangat keji dan menjijikkan, yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga batas-batas kemanusiaan serta nilai moral masyarakat,” katanya dalam kenyataan .
Mohd Na’im berkata perlindungan terhadap kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh seluruh masyarakat dan sebarang perbuatan jenayah sedemikian tidak boleh dibiarkan berleluasa.
Beliau turut menasihatkan orang dewasa agar menjaga adab dan pertuturan terhadap kanak-kanak, sama ada secara bersemuka mahupun di alam maya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat tentang panduan Islam yang menekankan perlindungan terhadap golongan lemah.
























