Bergaduh ketika mabuk – seorang parah ditetak

Nilai, Jun-
Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan yang menyebabkan seorang parah ditetak dengan parang di Bandar Baru Nilai, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada salah faham selepas masing-masing dikatakan di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima satu laporan polis mengenai kejadian itu pada jam 6.08 pagi kemudian.

Aduan dibuat pihak Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Selangor yang menerima seorang pesakit lelaki warga tempatan berusia 30-an dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka dan badan.

“Mangsa dimasukkan ke Zon Merah Jabatan Kecemasan untuk rawatan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Nilai menjalankan siasatan dan mendapati mangsa terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah premis makanan segera di Bandar Baru Nilai.

“Mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata jenis parang dan sebatang kayu oleh beberapa individu tidak dikenali. Mangsa dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan tidak membabitkan unsur gengsterisme, dendam lama atau konflik, sebaliknya dipercayai berpunca daripada perbalahan spontan ketika semua mabuk yang membawa kepada salah faham, provokasi dan pergaduhan fizikal.

“Polis menahan dua lelaki, masing-masing berusia 29 dan 37 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu di sekitar Nilai. Permohonan reman dibuat pagi ini dan siasatan kes mengikut Seksyen 148, Seksyen 326 dan seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian dan lokasi sebenar insiden berlaku,” katanya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian menghubungi balai polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-7904222.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here