GAJAH Makan Durian Penduduk Dipindahkan

Seekor gajah jantan liar seberat 1.5 tan yang masuk ke kawasan Kampung Jalong, dekat sini, sejak Mei lalu berjaya dikesan dan ditangkap dalam satu operasi pemindahan haiwan tersebut, hari ini.

Ianya melibatkan 11 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang serta 10 kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak.

Operasi pemindahan gajah yang diberi nama ‘Yeop Jalong’ dari kampung tersebut ke habitat asal di Hutan Simpan Royal Belum Gerik itu dibantu dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai.

Menurut Ketua PKGK Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin, operasi tersebut memakan masa sekitar satu jam disebabkan faktor muka bumi dan gajah yang bertindak agresif.

Katanya pemindahan gajah liar itu perlu dilakukan kerana telah membuat kacau ganggu dan bimbang ia akan mengancam keselamatan penduduk.

Tambahnya lagi, gajah yang dianggarkan berusia 15 tahun itu dipercayai dari Hutan Simpan Piah.

“Melalui Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak, kita telah jalankan operasi tangkapan bermula 28 Jun lalu dan kemudian anggota PKPG datang untuk sama-sama menyelesaikan proses pemindahan hari ini.

“Berkemungkinan seekor lagi masih berada di kawasan sekitar dan kita akan jalankan operasi tangkapan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada operasi pemindahan gajah liar di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang pemilik dusun yang ditemui berkata gajah-gajah tersebut telah menceroboh kawasan dusunnya selain memakan durian-durian yang telah dipungut.

Huri Abdullah, 57, berkata sekumpulan gajah liar dikesan menceroboh ke kawasan Kampung Jalong sejak beberapa minggu lalu dan turut makan hasil durian yang dikumpulkan penduduk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here