Kerajaan jamin harga telur kekal terkawal

Putrajaya, Julai-

Kerajaan memberi jaminan bahawa harga pasaran bagi telur ayam kekal terkawal meskipun subsidi bagi komoditi itu ditamatkan sepenuhnya mulai esok.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa langkah penstrukturan semula subsidi itu merupakan sebahagian daripada pendekatan penyasaran secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan bekalan telur kekal stabil dan mampu milik, pihak industri bersetuju memperkenalkan telur gred khas yang akan ditawarkan pada harga lebih berpatutan di pasaran.

“Kerajaan komited untuk memastikan rakyat terus memperoleh akses kepada makanan asas yang mencukupi dan berkualiti.

“Penstrukturan ini tidak bermaksud membiarkan harga melambung. Malah, program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah turut digerakkan secara meluas di seluruh negara termasuk di premis Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, langkah ini juga membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan subsidi dan menyalurkan penjimatan kepada program kesejahteraan rakyat yang selari dengan nilai-nilai Malaysia Madani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here