Machang, Ogos –
Sebuah kereta terbabas di kilometer 30, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, berhampiran kampung Bukit Pulai Chondong di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu kedua-dua beradik dalam perjalanan untuk membawa mangsa berusia 61 tahun yang dikatakan tidak sedarkan diri akibat terjatuh dalam bilik air.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, sekitar jam 12.14 pagi pihaknya mendapat makluman wanita terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar USM.
Hasil siasatan awal mendapati kemalangan terbabit dipercayai melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iriz yang dipandu oleh seorang lelaki bersama abang dan ibunya dari rumah di Taman Gading Galoh, Pulai Chondong.
“Dua beradik berusia 19 dan 23 tahun ini dipercayai hendak menghantar ibunya yang tidak sedarkan diri selepas terjatuh dalam bilik air ke Hospital Machang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, akibat daripada kejadian itu dua beradik tersebut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Machang.Ahmad Shafiki memberitahu, manakala ibu mereka tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Pakar USM.




















