Kuala Lumpur,Sep-
Polis menyiasat satu video tular di TikTok yang memaparkan sebuah kenderaan mikromobiliti atau skuter elektrik digunakan di atas jalan raya di Jalan Uda Utama, Bandar Uda Utama di Johor.
Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh berkata, polis mengesan satu hantaran video di TikTok yang memaparkan kenderaan itu digunakan di jalan raya.
Katanya, berdasarkan siasatan kejadian itu dipercayai dirakam pada 15 Ogos lalu kira-kira jam 3 petang sebelum dimuat naik di media sosial.
“Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama seorang wanita dan seorang kanak-kanak didapati menaiki kenderaan berkenaan di lokasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Balveer berkata kes itu disiasat di bawah Peraturan 3(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 kerana menggunakan kenderaan mikromobiliti di atas jalan raya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.





















