Kes buli di sekolah rendah membimbangkan

Putrajaya, Sep-
Peningkatan mendadak kes buli di sekolah rendah yang melonjak sebanyak 79 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2024 menimbulkan kebimbangan serius apabila melibatkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr Farah Nini Dusuki berkata, trend itu amat merisaukan kerana selama ini tumpuan lebih banyak diberikan kepada pelajar sekolah menengah yang merekodkan 76.1 peratus insiden berbanding hanya 26.9 peratus di sekolah rendah.

Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM menunjukkan sebanyak 1,110 kes buli direkodkan pada tahun 2023 dan 1,990 kes bagi tahun lalu di sekolah rendah.

“Data terbaharu jelas menunjukkan lonjakan ketara di kalangan murid sekolah rendah.

“Kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun sepatutnya berada dalam fasa awal perkembangan, tetapi kini sudah terbabit sama ada sebagai mangsa mahupun pembuli,” katanya ketika sesi pembentangan Town Hall Anti Buli di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Data tersebut juga menunjukkan trend meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2022 dengan lebih 70 peratus daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah.

Bagi tahun 2022, sebanyak 3,064 kes dilaporkan diikuti tahun 2023 (5,418 kes) dan 5,689 kes tahun lalu.

Farah Nini turut merujuk dapatan Tinjauan Kesihatan dan Mobiliti Nasional (NHMS) 2022 yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke atas 33,523 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here