Kuala Lumpur, Sep-
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan perlahan petang ini susulan orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas menikmati cuti empat hari sempena sambutan Hari Malaysia.
Di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), keadaan trafik perlahan dilaporkan arah utara dari hentian Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh ke Simpang Ampat serta dari Pedas Linggi ke Port Dickson.
Keadaan sama juga berlaku arah selatan dari Sungai Petani utara ke Sungai Petani selatan.
Kemalangan turut berlaku di Kilometer 403.4 arah selatan dari Tanjung Malim ke Lembah Beringin sekitar jam 1.42 tengah hari tadi, menyebabkan lorong kecemasan dan kanan terhalang.
Bagaimanapun, laluan kembali dibuka semula kira-kira 15 minit kemudian. Walaupun lorong dibuka, trafik masih perlahan di kawasan berkenaan.
PLUS Trafik dalam kemas kini pada awal petang turut memaklumkan aliran perlahan di beberapa laluan lain termasuk dari Jasin ke Ayer Keroh, R&R Ayer Keroh ke Simpang Ampat, Hentian Senawang ke Port Dickson serta selepas Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar.
Sementara itu, di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), kesesakan dilaporkan berikutan pertambahan kenderaan.
Di laluan arah barat, kesesakan berlaku dari Kilometer 67.4 hingga Kilometer 59.5 (Bentong-Lentang), Kilometer 55.9 hingga Kilometer 54.4 (Lentang), Kilometer 40.6 hingga Kilometer 38.0 (Bukit Tinggi-Genting Sempah) serta Kilometer 25.7 hingga Plaza Tol Gombak.
Laluan arah timur di LPT1 turut mencatatkan kesesakan sejauh kira-kira 1.1 kilometer dari Kilometer 78.4 hingga Plaza Tol Karak.
Orang ramai dinasihatkan membuat semakan status aliran trafik terkini di lebuh raya melalui saluran media sosial rasmi pengendali lebuh raya iaitu PLUS Malaysia di akaun X @plustrafik, AFA PRIME Berhad bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) di akaun X @LPTTrafik, serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di akaun X @llmtrafik.




















