Kuala Lumpur, Sep-
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperuntukkan RM37 juta sejak 2023 bagi kerja penambahbaikan kemudahan tandas awam di 56 lokasi sepanjang lebuh raya kendaliannya.
Sejumlah lapan lokasi tambahan dijangka siap dengan kerja penambahbaikan menjelang akhir tahun ini, manakala 32 lokasi pada 2023 dan 16 lokasi lagi pada 2024 sudah dinaik taraf.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata usaha itu selaras dengan Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan dan Penambahbaikan Fasiliti yang bakal dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2028.
“Sebanyak lima hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan 11 hentian sebelah dikenal pasti untuk dinaiktaraf bagi menyediakan kemudahan lebih selesa dan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara lokasi yang dinaiktaraf adalah Hentian Sebelah Pedas Linggi (arah utara), Hentian Sebelah Bukit Gantang (arah selatan), Hentian Sebelah Tangkak (arah utara) dan R&R Machap (arah selatan).
Kerja penambahbaikan yang giat dijalankan sejak tahun lalu turut membabitkan R&R Gurun, Gunung Semanggol, Dengkil, Sungai Perak, Seremban dan Ayer Keroh selain beberapa hentian sebelah di Simpang Pulai, Sungai Bakap, Rawang, Gua Tempurung dan Kulai.
























