Kuala Lumpur, Dis–
Pemberi perkhidmatan dalam talian bertanggungjawab memastikan platform mereka tidak boleh diakses oleh pengguna dibawah umur 16 tahun berdasarkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak terbabit juga wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun bersesuaian dengan tahap usia mereka.
Menurut beliau, perkara itu terkandung dalam 10 perundangan subsidiari di bawah Akta 866 yang sedang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Selain itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka.
Pemberi perkhidmatan akan dikehendaki menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) sama ada Kementerian Komunikasi bersedia menggubal undang-undang menyekat atau melarang remaja di bawah umur 16 tahun menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
























