Putrajaya, Dis 8.
Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu tiada bukti dikemukakan di mahkamah yang menunjukkan penganggur, S Nimalan yang didapati bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Anthony Kevin Morais, menyebabkan mangsa mengalami lemas udara.
Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Nimalan selaku perayu keempat, berhujah bahawa perbuatan yang didakwa dilakukan anak guamnya itu tidak pernah dikenal pasti secara positif dan tidak dibuktikan oleh pihak pendakwaan.
Malah, katanya, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-11, iaitu Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nurliza Abdullah, tiada tanda jerutan pada leher mangsa atau penyempitan trakea atau tiroid yang boleh disimpulkan bahawa mangsa mati dicekik.




















