Kuala Lumpur, Jan 02.
Jabatan Imigresen akan memfokuskan tindakan tegas terhadap majikan dan pihak melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi menangani masalah kebanjiran golongan itu.
Justeru, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha mengingatkan majikan supaya mengambil tenaga kerja mengikut saluran sah.
Operasi juga akan dilaksanakan secara berterusan bagi menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing melanggar peruntukan undang-undang negara melibatkan Akta Imigresen 1959, katanya selepas operasi bersepadu di Little India, Brickfields.
Terdahulu, Jabatan Imigresen menahan lebih 100 Pati kerana tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan pemegang kad tidak diiktiraf.
Tangkapan itu hasil pemeriksaan ke atas 370 warga asing membabitkan 335 lelaki dan 35 wanita dari India, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar dan Nepal yang berusia 25 hingga 71 tahun.
Pemeriksaan terhadap 30 premis, termasuk kediaman, kedai pakaian, restoran, kedai gunting rambut, kedai barang kecantikan dan kedai serbaneka di sekitar Jalan Thamby Abdullah serta warga asing yang berjalan kaki melalui kawasan berhampiran.





















