Bomba sahkan ‘Molotov cocktail’ guna petrol Kes kebakaran

Manjung, Jan 22.
Punca kebakaran kenderaan dan kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di sini, pada 10 Januari lalu, disahkan menggunakan petrol.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pengesahan itu diterima daripada Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, pada 18 Januari lalu.

“Surat laporan rasmi akan diserahkan kepada polis dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Dalam kejadian jam 2.55 pagi itu, Mercedes Benz E300 milik Koo Ham dilaporkan hangus manakala dua lagi kenderaannya iaitu Honda CR-V dan Toyota Hilux serta siling halaman kediamannya rosak.

Siasatan lanjut polis di lokasi kejadian selepas itu membawa kepada penemuan botol ‘molotov cocktail’, sekali gus dipercayai menjadi punca kebakaran terbabit. Ketika kejadian Koo Kam yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan isteri, sedang tidur di tingkat atas kediaman terbabit.

Mereka sempat keluar menyelamatkan diri selepas dikejutkan bunyi loceng rumah berkali-kali yang ditekan jiran mereka.

Dua hari selepas kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30an di sekitar Shah Alam, Selangor bagi membantu siasatan.

Beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada pagi 17 Januari lalu.Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah dilaporkan berkata lelaki terbabit akan dijadikan saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan kelak.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon kemudian dilaporkan berkata pihaknya mengambil 11 sampel di kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini, untuk dibawa ke makmal bagi siasatan.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata pihaknya sudah merakam keterangan 11 individu setakat ini. bagi membantu siasatan kes berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here