Kuala Lumpur, Jun-
Sebuah parti politik yang mendakwa mewakili semua kaum dan dinaungi golongan profesional muda akan dilancarkan dalam satu majlis di Shah Alam, Isnin ini.
Sumber parti itu berkata pihaknya mempertaruhkan muka-muka baharu dalam landskap politik tanah air bagi menawarkan ‘suara lebih segar’ kepada rakyat demi masa depan lebih baik.
“Parti akan dipimpin pelbagai latar individu dan kaum, yang juga anak muda progresif selari dengan aspirasi negara memperjuangkan kepelbagaian budaya,” kata sumber itu kepada FMT.
Bagaimanapun ia enggan mendedahkan struktur pimpinan parti itu yang akan diumumkan pada majlis pelancarannya.
Semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati sehingga 2022, sebanyak 61 parti telah mendaftarkan simbolnya untuk digunakan bagi bertanding pada pilihan raya.




















