Johor Bahru, Ogos-
Seorang penganggur dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini, dan Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas 15 tuduhan, membabitkan penculikan, kurungan salah dan amang seksual ke atas budak perempuan berusia enam tahun, selain mengumpul dan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, bulan lalu.
Tertuduh, Leang Win Son, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin.
Berdasarkan pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasidah Roslee, lelaki itu itu didakwa menculik mangsa daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang iaitu ibunya di Eco Galleria, Taman Botani, Iskandar Puteri di sini, kira-kira jam 8.30 malam, 20 Julai Lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.Di mahkamah itu juga, tertuduh didakwa dengan niat curang telah membuat pengurungan salah ke atas kanak-kanak itu yang mana pengurungan itu tidak boleh diketahui oleh polis di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Mahagoni 9, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 346 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, tertuduh menghadapi enam lagi pertuduhan yang mana empat daripadanya, dia didakwa mengumpul sebanyak
5,317 gambar dan video iaitu bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam dua kad SD, cakera keras dan telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 2, Taman Sri Kulai dekat Kulai, kira-kira jam 4 petang, 24 Julai lalu.
Dalam kejadian pada 20 Julai lalu, mangsa disedari hilang oleh ibu bapanya yang berniaga di Festival Bon Odori dekat pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri di sini, kira-kira 8.30 malam.
Selepas tidak ditemui, ibu bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis jam 12.30 tengah malam, 21 Julai lalu sebelum operasi mencari dan menyelamatkannya dilancarkan polis.
Leang pula adalah individu kelima yang ditahan kira-kira jam 4.45 pagi, 23 Julai lalu, di sebuah hotel murah dekat Batang Kali, Selangor, ketika polis berjaya menjumpai kanak-kanak perempuan berkenaan di lokasi terbabit.
Dia kemudiannya ditahan reman selama tujuh hari dan bersambung enam hari lagi, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, Ahad lalu sebaik tempoh reman itu tamat.
Bagaimanapun, polis membuat tangkapan semula terhadapnya pada hari yang sama susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya dekat Kulai. – BH





















