Melaka, Feb-
Bomba mengambil masa hampir 12 jam untuk memadam sepenuhnya kebakaran belukar di Taman Muzaffar Height, Ayer Keroh di sini yang merebak sehingga ke kawasan seluas 6.8 hektar petang semalam.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Kanan Bomba II Mohd Khairulnizam Mohamad Anuar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.50 petang, dan 29 anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, didapati berlaku kebakaran belukar dengan anggaran keluasan 1.2 hektar, yang terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Kawasan A di puncak bukit sebelah Kondominium Muzaffar Height (Kawasan B) dan pencawang Tenaga Nasional Berhad (Kawasan C).
“Jentera dari BBP Ayer Keroh melakukan pemadaman dari atas puncak bukit menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki (152 meter) dari tangki air jentera, dan dibantu jentera balai bomba Tangga Batu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.



















