Rio De Janeiro, Julai-
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17 di sini.
Kedua-dua pemimpin meneliti potensi besar untuk memperluas kerjasama strategik Malaysia dan India dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan pertahanan.
“Saya turut mengalu-alukan minat syarikat-syarikat India untuk melabur dalam sektor-sektor masa hadapan di Malaysia seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan industri aeroangkasa.
“Kami juga komited untuk terus memperkukuh hubungan antara rakyat melalui kerjasama dalam bidang kebudayaan, pelancongan dan pendidikan termasuk cadangan penubuhan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Kuala Lumpur dan New Delhi turut menegaskan pentingnya memastikan keamanan dan kestabilan serantau, serta menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian adil dan aman bagi isu-isu antarabangsa seperti Palestin dan Jammu-Kashmir.
Malaysia juga menurut Anwar menyambut baik usaha memperkukuh hubungan ASEAN dan India menjelang Sidang Kemuncak ASEAN–India pada Oktober ini, selaras dengan semangat kerjasama yang saling menguntungkan.
Malaysia adalah rakan dagang ketiga terbesar India di ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai RM85.26 bilion (AS$20.02 bilion) pada 2023-2024 yang menyumbang kira-kira 17 peratus daripada jumlah dagangan India dengan ASEAN.




















