Seorang dalam 10 lelaki, seorang dalam 9 wanita Malaysia berdepan risiko kanser

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sejak sedekad yang lalu, kanser adalah antara lima sebab kematian utama di Malaysia.

Berdasarkan Fakta-Fakta Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) 2019, beliau berkata kanser menyumbang kepada 11.82 peratus kematian di semua hospital kerajaan berbanding 9.08 peratus pada 1999.

Oleh itu, katanya, pengesanan awal dan rawatan segera boleh meningkatkan peluang untuk pulih tetapi malangnya, pengesanan lewat adalah biasa dalam kalangan pesakit kanser di negara ini.

“Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 mendedahkan bahawa 60 peratus kanser di Malaysia dikesan pada peringkat terlalu lewat (tahap 3 dan 4).

“Mengesan kanser di tahap yang sudah lewat membawa kepada kos rawatan lebih tinggi dan mengurangkan peluang untuk pulih,” katanya ketika merasmikan Hari Kanser Sedunia 2020 di KL Sentral, di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Dzulkefly mendedahkan bahawa segelintir rakyat Malaysia lebih menaruh kepercayaan terhadap rawatan alternatif (tradisional) bagi kanser.

“Dalam banyak contoh, kesemua pesakit ini telah mendapatkan rawatan pemulihan tradisional termasuk bomoh sebagai pilihan pertama rawatan selepas didiagnosis oleh doktor. Hanya selepas pendekatan alternatif itu gagal, barulah mereka mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Dr Dzulkefly juga berkata 30 hingga 50 peratus penyakit kanser boleh dicegah menerusi gaya hidup sihat.

Beliau berkata kerajaan turut meletakkan sasaran agar jumlah pakar onkologi dapat ditambah kepada seorang pakar bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia dalam usaha meningkatkan khidmat rawatan kanser.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here