KOTA KINABALU –
Seorang lelaki dan dua kanak-kanak berusia 10 dan tiga tahun parah selepas terkena tembakan disyaki dilepaskan oleh seorang lelaki tidak dikenali di atas jambatan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata insiden pada 7 malam itu, telah mencederakan seorang lelaki berusia 36 tahun dan dua kanak-kanak lelaki berkenaan.
“Ketiga-tiga mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal dipercayai seorang lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan dan mengenai ketiga-tiga mangsa terbabit.