Suami isteri didakwa aniaya, abai anak perempuan

Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun, sejak pertengahan tahun lepas.

Tertuduh, T. Lohkanayagi, 38, yang merupakan ibu tiri mangsa dan P. Chadrasegaran, 36, bapa kandung kanak-kanak itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J.G. Kaameni tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas alasan tertuduh pertama mempunyai hubungan (ibu tiri) dengan mangsa dan mengelakkan tertuduh mendekati dan mengganggu mangsa.

Lohkanayagi yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan dia mempunyai tujuh anak dan anak bongsunya, berusia setahun mempunyai masalah jantung lemah.

Mahkamah membenarkan pasangan suami isteri itu masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan kes sementara menunggu laporan perubatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here