KUALA LUMPUR –
Dewan Rakyat akan bersidang pada 18 Mei ini dan bukan 9 Mac seperti yang dijadualkan sebelum ini, demikian menurut Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Beliau turut mengesahkan surat makluman berhubung tarikh baharu persidangan itu telah diterima malam tadi.
“Sebentar lagi Pejabat Speaker akan keluarkan kenyataan media,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama, pagi ini.
Beliau mengesahkan laporan media pagi ini yang menyatakan tiada persidangan akan berlangsung pada 9 Mac ini.
Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 sebelum ini dijadualkan bermula 9 Mac ini akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.




















