Kes hina mahkamah Zahid ditolak

Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pihak pendakwaan, untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, hari ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar dan menerima penjelasan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, bahawa terdapat salah faham dalam penggunaan ayat, ketika mengemukakan permohonan penangguhan perbicaraan itu semalam.

“Selepas mendengar daripada peguam bela tertuduh dan menimbangkan permohonan daripada pendakwa raya, saya bersetuju kemungkinan berlaku salah faham antara arahan yang diberikan tertuduh dan peguam bela.

“Secara terbuka saya memohon maaf atas kekeliruan dan salah faham yang timbul, dan saya tidak berhasrat langsung untuk ‘mengelirukan’ mahkamah ini. Saya amat menghormati Yang Arif dan menghormati mahkamah yang mulia ini.

“Saya juga ingin menjelaskan perintah tentang surat, saya telah berhubung dengan setiausaha politik. Surat tak dapat dikeluarkan kerana belum ada pelantikan rasmi pegawai berkenaan, dan belum ada angkat sumpah,” katanya dari kandang tertuduh.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here