COVID-19 : Tiada kes baharu setakat ini, jumlah kes kekal 29

Tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan di Malaysia setakat 2.30 petang semalam dan jumlah kumulatif kes di Malaysia kekal 29 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes itu melibatkan 17 orang dalam kalangan kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI), 10 dalam kalangan kontak rapat dan dua dalam kalangan rakyat tempatan yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah tersebut, 15 orang adalah warganegara China, 11 warganegara Malaysia dan tiga orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun dan Itali).

“Daripada 29 kes positif ini, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj manakala tujuh kes masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang. Kesemua kes ini dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here