Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kerajaan supaya mengambil iktibar daripada kekejaman dan kegagalan sistem pemerintahan diamalkan di Amerika Syarikat dalam mengatasi masalah rakyat.
Presiden KEADILAN berkata sikap prejudis dan sentimen perkauman yang semakin berleluasa di negara kuasa besar itu mencetuskan kekacauan rakyat dan pembunuhan kejam terhadap kaum kulit hitam.
Beliau berkata, dunia melihat bantahan dan kegelisahan rakyat Amerika apabila berlaku pembunuhan ke atas orang kulit hitam pertama iaitu George Floyd.
“Perkara ini bukan hal baharu, sebaliknya mengakibatkan kemarahan adalah kerana fahaman perkauman sempit dan penghinaan kepada orang kulit hitam (berlaku) selama ratusan tahun.Kes pembunuhan (George Floyd) berpunca apabila ada sikap menghina, menindas dan meremehkan kaum berkenaan,” katanya pada siaran langsung di Facebook semalam.
Ahli Parlimen Port Dickson turut mengingatkan bahawa Islam melarang segala bentuk tindakan membawa kepada perpecahan kaum dan meruntuhkan keamanan sesebuah negara khususnya Malaysia yang dihuni rakyat pelbagai bangsa.
“Sentimen membenci kaum terpakai bagi semua, sebab itu Islam berdiri tegak untuk menghilangkan kebencian (kaum),” katanya.