KDN siasat ketulenan dakwaan rakaman audio Zahid-Anwar

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat ketulenan rakaman audio dan butiran perbualan yang didakwa antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang tersebar baru-baru ini.

Menterinya, Hamzah Zainudin berkata, KDN akan menyiasat semua laporan yang diterima oleh kementeriannya.

“Sudah tentu kita (KDN) akan menyiasat semua laporan yang diberikan kepada kita. Pertama sekali kita siasat tentang ketulenan dan apakah ada perbuatan itu? Kalau tiada perbualan itu maka bermakna cerita yang dibuat itu adalah fitnah.

“Jadi ada dua perkara di sini pertama, perbualan dan adakah ia tulen, kedua apa yang ada dalam perbualan itu. Betul atau tidak?” katanya pada sidang media selepas hadir melancarkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hamzah berkata beliau juga ada mendengar perbualan rakaman audio dan turut meneliti perbualan berkenaan.

Semalam, Zahid menafikan perbualannya dengan Anwar seperti dalam rakaman audio yang tersebar, dan menyatakan pegawainya akan segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan, untuk mengenal pasti dalang di sebalik perkara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here