Orang Asli Kanada pula mangsa polis

Kumpulan Orang Asli Kanada kelmarin menyeru siasatan bebas mengenai kematian seorang wanita peribumi yang telah ditembak anggota polis yang dipanggil bagi satu pemeriksaan kesihatan.

Congress of Aboriginal People (CPA), salah satu daripada lima kumpulan mewakili peribumi Kanada, menyeru siasatan umum mengenai kematian Chantel Moore serta tindakan berat sebelah dan rasisme secara bersistematik yang ditunjukkan perkhidmatan polis dan sistem kehakiman terhadap penduduk peribumi.

Moore, 26, ditembak mati Khamis lepas oleh seorang anggota polis di Edmundston, wilayah timur New Brunswick.

Sebelum itu, seorang ahli keluarganya telah menghubungi polis bagi memeriksa kesihatan Moore.

Polis Edmundston menyatakan wanita itu mengancam anggota polis dengan sebilah pisau.

Menurut keluarga mangsa, anggota polis itu melepaskan tembakan sebanyak lima das bagi menewaskannya.

“Pembunuhan tragik Moore semasa satu pemeriksaan kesihatan menunjukkan dengan jelas kepada semua rakyat Kanada bahawa Orang Asli di Kanada terus berdepan dengan keadaan yang sangat berlainan ketika berinteraksi dengan  pihak polis dan sistem kehakiman di Kanada”, menurut Ketua Nasional CPA Robert Bertrand.

Ketika pihak berkuasa membuka kertas siasatan mengenai kematian Moore, ketua kebangsaan Assembly of First Nations (AFN) Perry Bellegarde menyatakan kejadian tembakan itu harus disiasat pihak ketiga yang adil bagi menentukan kenapa kekerasan digunakan dan sama ada perkauman merupakan satu faktor dalam respons anggota polis tersebut.

“Bagaimana satu panggilan untuk mendapatkan bantuan bertukar menjadi satu panggilan bagi koroner?

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku,” menurut Bellegarde.

“Kita perlu mengetahui sama ada perkauman memainkan sebarang peranan dalam respons polis dan sama ada penggunaan kuasa yang kurang ekstrem seharusnya telah digunakan.

“Ibu muda yang juga anak perempuan First Nations ini tidak sepatutnya meninggal dunia,” tambahnya lanjut.

Dalam kejadian berasingan di wilayah barat Alberta, Ketua Athabasca Chipewyan First Nation Allan Adam menuduh Polis Berkuda Diraja Kanada (CRMP) telah memukulnya pada Mac lalu semasa pemeriksaan rutin mengenai pendaftaran automobil beliau.

RCMP menyatakan bahawa mangsa telah melawan ketika ditangkap.

Perdana Menteri Justin Trudeau berkata pada Jumaat lepas mengenai diskriminasi di Kanada sebelum turut serta dalam tunjuk perasaan di Ottawa terhadap rasisme dan keganasan polis berikutan kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam tidak bersenjata yang dibunuh anggota polis di Amerika Syarikat (AS).

“Sepanjang beberapa minggu lepas, kita telah melihat sejumlah besar rakyat Kanada yang tiba-tiba bangkit dengan kenyataan bahawa diskriminasi merupakan satu realiti sebenar bagi ramai rakyat kami dan ia merupakan sesuatu yang harus ditamatkan,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here