14 pendaki Hutan Simpan Bujang Melaka ditahan

Seramai 14 pendaki ditahan dipercayai melakukan aktiviti pendakian tanpa permit di Hutan Simpan Bujang Melaka di sini semalam.

Jabatan Perhutanan Perak dalam satu kenyataan memaklumkan Pejabat Hutan Daerah Kinta Manjung menerima maklumat berkaitan aktiviti melibatkan lapan lelaki dan enam wanita itu.

“Satu pasukan penguat kuasa telah menjalankan kerja-kerja semakan dan pemantauan di kawasan disyaki.

“Pihaknya menahan kumpulan pendaki tersebut yang disyaki telah memasuki hutan simpan tanpa mendapat permit kebenaran daripada Jabatan Perhutanan negeri,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, pendakian kumpulan itu bermula dari sebuah resort ke Batu Dinding berhampiran puncak Gunung Bujang Melaka di sini.

“Satu laporan polis telah dibuat dan mereka dilepaskan dengan jaminan polis. Kumpulan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, aktiviti pendakian telah dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun pendakian di kawasan hutan simpan kekal perlu mendapatkan kelulusan daripada pejabat hutan daerah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here