Port Dickson, Feb-
Buaya dilihat berkeliaran di beberapa pantai lain di daerah ini, selain daripada dilihat berkeliaran di Pantai Cermin di Port Dickson.
Menerusi video yang tular di aplikasi TikTok, ada yang mendakwa buaya ditemui di Pantai Purnama dan juga lokasi pantai yang paling menjadi tumpuan ramai di daerah ini iaitu Pantai Teluk Kemang.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai, malah ada yang mendakwa kehadiran haiwan tersebut di pantai Port Dickson adalah perkara biasa.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada itu adalah buaya yang sama yang sesat di Pantai Cermin sebelum ini. Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya akan mengenal pasti lokasi sebenar penemuan buaya berkenaan.
“Setakat ini, menerima aduan kehadiran haiwan tersebut di pantai berhampiran Hotel Thistle saja. “Namun merujuk kepada video-video yang tular, kita akan mengenal pasti lokasinya terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil,” katanya.





















